Penjual kereta, staf JPJ kekal dijel 3 tahun, denda RM40,000

Oleh – Syeikh Baran


Penjual kereta, staf JPJ kekal dijel 3 tahun, denda RM40,000
Gambar Hiasan

Seorang penjual kereta dan seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing kekal dipenjara tiga tahun dan didenda RM40,000 atas empat kesalahan berkaitan dokumen palsu, lapan tahun lalu.

Nik Hazrihairi Nik Kasim, 41, yang juga peniaga sate dan Nurul Hanim Abu Bakar, 39, didapati bersalah dan dihukum oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada 9 Mac 2022 bagi keempat-empat pertuduhan.



Dalam kes itu, Nik Hazrihairi (perayu pertama) berperanan mencari mana-mana pihak yang berhasrat membeli kenderaan murah yang kononnya adalah kenderaan yang dilucuthak oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dokumen-dokumen palsu yang diperlukan kemudian diposkan kepada Nurul Hanim (perayu kedua) yang bekerja di JPJ Kulim.

Pada 24 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas mengekalkan sabitan dan hukuman itu selepas berpuas hati rayuan tersebut tiada merit.

Ketika menolak rayuan itu, beliau berpendapat, pertuduhan terhadap perayu pertama adalah lengkap sebaik sahaja dia mengemukakan dokumen palsu tersebut kepada perayu kedua untu digunakan bagi mengelirukan JPJ Kulim.



Pertuduhan terhadap perayu kedua juga lengkap apabila dia menerima dokumen itu untuk mengelirukan agensi berkenaan.

“Kedua-dua kesalahan itu adalan berasingan, meskipun mempunyai kaitan, ia mampu berdiri dengan sendiri,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis bertarikh 11 Julai lalu yang diperolehi pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Pada 9 Mac 2022, Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 terhadap Nik Hazrihairi dan Nurul Hanim bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara serentak selain memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda. Nik Hazrihairi membayar denda itu.



Mahkamah membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menanti proses rayuan di Mahkamah Tinggi dengan ikat jamin sebanyak RM12,000, seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hanim yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi di Unit Hasil JPJ Cawangan Kulim didakwa menggunakan dokumen-dokumen yang memiliki butiran palsu.

Perbuatan tersebut didakwa bertujuan mengelirukan prinsipalnya apabila mewujudkan pendaftaran empat buah kenderaan iaitu Mitsubishi Grandis 2.4L, Toyota Estima Aeras 2.4L, Toyota Wish 1.8L serta Toyota Previa 2.4L. dalam pangkalan data MySikap JPJ dengan status lucut hak kastam.

Manakala, Nik Hazrihairi pula didakwa telah memberikan dokumen-dokumen berkenaan kepada Nurul Hanim dengan niat untuk memperdayakan prinsipal wanita berkenaan.



Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh pada 16 Februari 2016, 1 Jun 2016, 21 Jun 2016 dan 30 Jun 2016 di JPJ Cawangan Kulim.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button