Penyelia restoran yong tau fu didakwa songlap RM81,126.86

Oleh – Syeikh Baran


Penyelia restoran yong tau fu didakwa songlap RM81,126.86
TERTUDUH diiringi polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

Seorang penyelia sebuah restoran yong tau fu popular di negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM81,126.86 sejak Mac lalu.

Tertuduh, Nur Putra Assyarafain Zuhari, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.



Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia premis didakwa telah diamanahkan dengan harta iaitu wang hasil jualan sebanyak RM81,126.86 yang mana tertuduh telah gagal menyerahkannya kepada syarikat.

Perbuatan itu dilakukan di kaunter premis Tokmer Enterprise cawangan Jasin Bestari dalam daerah Jasin antara 17 Mac dan 19 Jun 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 14 tahun dan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pensakwa Raya Rashisah Baharom dan Nur Syazwani Marizan mencadangkan jaminan berjumlah RM50,000 bagi kesemua pertuduhan.



Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia menanggung ibu bapa dan dua adik.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM42,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 19 Ogos depan untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button