Saya saman Muhyiddin kerana beliau enggan mohon maaf – Guan Eng

Oleh – Syeikh Baran


Saya saman Muhyiddin kerana beliau enggan mohon maaf – Guan Eng
Muhyiddin dan Guan Eng.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tiada pilihan selain menyaman Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana enggan memohon maaf selepas memfitnahnya berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengulangi kenyataan fitnah sebanyak tiga kali walhal bukan beliau mengeluarkan pembatalan pengecualian cukai tersebut.



Menurut Guan Eng, isu yang dibangkitkan oleh Muhyiddin menyentuh yayasan berkenaan yang merupakan sebuah organisasi kebajikan Islam yang mana pembatalan itu didakwa dikeluarkan ketika beliau berjawatan Menteri Kewangan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kenyataan Muhyiddin menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) yang boleh menggugat keharmonian kaum.

“Muhyiddin melencong dan mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Jana Wibawa sedangkan kedua-duanya (organisasi itu dan Jana Wibawa tiada kaitan,” ujar beliau ketika menjawab soalan peguam Guok Ngek Seong yang mewakilinya.

Guan Eng selaku plaintif memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah terhadap Muhyiddin (defendan) atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai terhadap organisasi berkenaan.



Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Katanya, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button