Lelaki Singapura mohon kekal hukuman mati, enggan rayu hukuman

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki Singapura mohon kekal hukuman mati, enggan rayu hukuman
WARGA Singapura, Quah Tee Keon (bergari) memohon dikekalkan hukuman mati semasa persidangan Mahkamah Persekutuan yang berlangsung di Johor Bahru, hari ini.

Seorang lelaki warga Singapura menolak permohonan membuat rayuan sebaliknya mahu kekal dihukum mati kerana membunuh teman lelaki isterinya yang merupakan seorang warganegara China di Pahang, pada tahun 2013.

Selain itu, Quah Tee Keon, 56, turut didakwa menikam isterinya sehingga mendatangkan kecederaan dengan mengetahui tindakan itu boleh menyebabkan kematian.



“Saya tak nak minta ampun, saya minta hukum gantung sampai mati sahaja. Terima kasih,” ujar Tee Keon semasa prosiding kesnya yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini, hari ini.

Persidangan itu dibarisi panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Sehubungan itu, peguam pemohon, Bernard George membuat permohonan rasmi kepada mahkamah untuk menarik semula semakan permohonan hukuman mati dihadapi anak guamnya.

Tengku Maimun kemudian memerintahkan bahawa hukuman gantung sampai mati kekal dan permohonan semakan dibatalkan.



Tee Keon yang ditahan setelah menyerahkan diri kepada pihak polis di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2013 sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana membenarkan permohonannya itu.

Berdasarkan fakta kes, Tee Keon telah membunuh seorang lelaki bernama Ruan Chao Qiang di sebuah kediaman di Taman Mawar Indah, Triang, Bera, kira-kira pukul 3.30 pagi pada 13 Oktober 2013.

Tee Keon turut mencederakan isterinya menggunakan pisau sehingga menyebabkan wanita itu mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian leher, tangan dan belakang badan di lokasi dan waktu sama.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button