Suami buat laporan polis, tuduh isteri kedua mencuri
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki membuat laporan polis dengan menuduh isteri keduanya mencuri beberapa perabot di sebuah rumah miliknya, lapor laman berita iNew Surabaya semalam.
Lelaki tersebut dikenali sebagai Dr. Husnurajin, 60, yang mempunyai empat orang isteri.
Menurut isteri keduanya yang dikenali sebagai AJ, 46, dia mengaku mengeluarkan barangan seperti televisyen, sofa, meja dan peralatan memasak dari rumah suaminya di Jombang, wilayah Jawa Timur.
Namun katanya, dia bertindak demikian setelah mendapat keizinan daripada suaminya itu kerana rumah tersebut mahu dijual.
“Saya ke rumah itu dengan mendapat izin suami namun, saya dituduh mencuri. Kejadian itu berlaku pada 6 Mei lalu dan laporan polis dibuat pada 7 Mei 2024,” jelas AJ.
Bagi menghindari konflik yang lebih besar, AJ mengalah dengan mengembalikan barang-barang yang diambil dan membayar ganti rugi sebanyak 20 juta rupiah (RM5,790). Ia lebih tinggi berbanding nilai kerugian yang dilaporkan iaitu 15 juta rupiah (RM4,342).
AJ berpendapat tindakan suaminya itu merupakan usaha untuk memberi tekanan kepadanya agar dia tidak meminta cerai.
“Tujuan dia membuat laporan polis adalah agar saya tidak meminta cerai,” tegasnya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE