Suami tumbuk muka bergaduh pertikai gaji isteri kerja kerani

Oleh – Syeikh Baran


Suami tumbuk muka bergaduh pertikai gaji isteri kerja kerani
TERTUDUH yang bekerja sebagai polis bantuan mengaku menumbuk muka isterinya sehingga cedera, Jumaat lalu. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

Perbuatan seorang suami menumbuk muka isterinya selepas mempertikaikan gaji mangsa sebagai kerani berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd. Haniff Zainuddin, 48, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.



Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan anggota polis bantuan didapati dengan sengaja telah menyebabkan cedera kepada isterinya, Nooryati Mohd. Ghani, 45, kira-kira pukul 7.30 malam di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Indah dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut fakta kes, ketika pasangan suami isteri itu berada di rumah, telah berlaku perselisihan faham antara mereka berdua selepas tertuduh mempertikaikan penggunaan duit gaji mangsa yang bekerja sebagai kerani.

Pertengkaran itu menyebabkan tertuduh menumbuk bahagian muka isterinya sehingga mangsa terpaksa menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Melaka.



Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira fakta kes dan kecederaan dialami isterinya, selain keterangan saksi menunjukkan ia bukanlah kejadian pertama tertuduh mengasari mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengasari isterinya lagi serta anaknya berusia 27 tahun bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

“Saya janji sumpah sanggup mati disambar petir saya takkan buat perkara kasar lagi kepada isteri saya puan hakim, saya sanggup bunuh diri kalau dia tiada dalam hidup saya,” rayunya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Majistret Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dari tarikh ditangkap iaitu 13 Julai lalu dan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button