Anggota imigresen cedera bergelut tangkap PATI

Oleh – Syeikh Baran


Anggota imigresen cedera bergelut tangkap PATI
Mohd. Rosli Mohd Darus (dua dari kiri) menyoal pekerja asing yang ditahan dalam Ops Mega Pengarah di sebuah pasaraya di Senai, Kulai disini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Johor (JIM) cedera setelah berlaku pergelutan dengan seorang pekerja asing yang bertindak agresif ketika ditahan di sebuah pusat urut di sebuah pasar raya di Senai.

Dalam pergelutan itu pekerja asing warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut telah menolak anggota terbabit ketika cuba melarikan diri sehingga melanggar cermin kaca menyebabkan dahi mangsa cedera dan terpaksa di hantar ke klinik berhampiran untuk rawatan dan menerima beberapa jahitan di dahi.



Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rosli Mohd Darus berkata lelaki berasal dari Palembang berusia 37 tahun itu antara 123 pekerja asing termasuk 49 wanita yang ditahan dalam Operasi Mega Pengarah selama sejam bermula jam 12.30 tengah hari.

Mohd. Rosli berkata pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu sebelum ini didakwa di mahkamah dan diusir ke negara asalnya tahun lalu sekali lagi ditahan JIM Johor.

“Ketika serbuan lelaki itu yang bekerja di pusat refleksologi di pasar raya berkenaan cuba melarikan diri hingga menyebabkan seorang anggota penguat kuasa mengalami kecederaan di dahi akibat dirempuh.

“Pemeriksaan lanjut mendapati warga asing itu yang masih bujang tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan telah ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas operasi berakhir.



Mengulas lanjut, Mohd. Rosli berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kebanjiran warga asing yang bekerja di pasar raya berkenaan.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada 64 warga Indonesia termasuk 35 perempuan, 45 warga Myanmar termasuk 12 perempuan, tujuh lelaki Bangladesh, masing-masing dua lelaki Nepal dan India, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Pakistan.

Kesemua warga asing berusia antara 20 hingga 65 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan tinggal lebih masa, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button