Bakar rakan sampai mati: Tiga lelaki didakwa membunuh

Oleh – Syeikh Baran


Bakar rakan sampai mati: Tiga lelaki didakwa membunuh
Tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh SHIDIQQIN ZON/KOSMO!

Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka sebelum mayat lelaki itu ditemui terbakar berhampiran Empangan Semenyih di sini bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka iaitu Zulkarnain Md Ariffin, 44, Muhamad Iqbal Zainal, 30, dan Syed Fikri Barakbah Syed Mohd. Bakri, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab. Aziz.



Zulkarnain merupakan pekerja bengkel, manakala Muhamad Iqbal dan Syed Fikri bekerja pula di syarikat elektrik.

Pengakuan tidak direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

“Faham (pertuduhan),” kata mereka ringkas.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Mohamed Afiq Hamdan, 29, di kawasan lot rumah di Jalan Hulu Langat, Batu 16, Dusun Tua di sini antara pukul 3 dan 5 pagi pada 22 Jun lalu.



Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta  tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, Kosmo! melaporkan misteri pembunuhan seorang lelaki bulan lalu terungkai apabila empat lelaki ditahan di kawasan Batu 14, Hulu Langat pada 11 Julai lalu.



Mayat lelaki itu ditemui dengan kesan terbakar dan dibuang di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih pada 23 Jun lalu.

Motif pembunuhan mangsa adalah dipercayai kerana hutang RM7,000 yang dibuat lelaki itu terhadap suspek.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button