Dua ‘runner’ aktif cap palsu pasport, permit kerja warga asing tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Dua ‘runner’ aktif cap palsu pasport, permit kerja warga asing tumpas
Antara barang yang dirampas menerusi Op Serkap dijalankan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, semalam.

 Kegiatan dua warga Indonesia mengoperasi sindiket pemalsuan cap keluar masuk dan permit kerja terbongkar dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Suspek seorang lelaki dan wanita itu dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ diberkas di Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor, kira-kira pukul 1 petang.



Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, Ops Serkap itu dijalankan hasil risikan lebih sebulan pasukannya.

Katanya, semakan mendapati suspek lelaki menggunakan pas lawatan sosial yang tamat tempoh, manakala suspek wanita mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) bagi sektor pembinaan yang sah.

“Pasukan operasi telah merampas pelbagai barang antaranya empat naskah pasport antarabangsa, dua cap keselamatan keluar dan masuk KLIA, dua cap keselamatan keluar dan masuk disyaki dari Indonesia, wang tunai RM40,000 serta telefon bimbit (2 unit).

“Sebuah motosikal disyaki diguna untuk aktiviti pengedaran turut disita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menyasarkan warga Indonesia dan Bangladesh dengan mengenakan bayaran RM350 untuk pelekat PLKS serta RM50 bagi setiap satu cap palsu di pasport.

Kata Mohammed Saupee, ketika ditangkap suspek lelaki merayu untuk dilepaskan kononnya tiada pekerjaan tetap dilakukannya.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Seksyen 56(1a)(B) akta yang sama,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button