Sembunyi dadah RM7.8 juta dalam kereta

Oleh – Syeikh Baran


Sembunyi dadah RM7.8 juta dalam kereta
Kok Chin (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket tersebut.

Taktik licik satu sindiket menjadikan kereta sebagai tempat simpanan dadah sejak awal tahun ini terbongkar dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan bermula pukul 5.50 petang tersebut, pihak polis berjaya merampas 49.5 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah seperti pil ekstasi, pil erimin 5 dan syabu bernilai RM7.8 juta.



Turut ditahan enam lelaki berusia 26 hingga 50 tahun yang bertugas sebagai penjaga stor dan ‘transporter’ dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kejayaan itu hasil tangkapan awal terhadap seorang lelaki yang merupakan penjaga stor di hadapan pos pengawal pangsapuri tersebut.

Menurutnya, soal siasat kemudiannya membawa kepada sebuah kereta jenis Nissan Teana di aras satu salah sebuah blok kediaman itu.

“Hasil pemeriksaan di tempat duduk hadapan dan belakang menjumpai 44 kg pil ekstasi dan 17,750 biji pil erimin 5 seberat 3.55 kg.



“Kemudiannya, dengan dipandu arah suspek tersebut telah menyerbu sebuah unit rumah sewa sindiket di tingkat 17 pangsapuri sama dan menemukan syabu dianggarkan dua kg di dalam bilik rumah itu,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, semakan mendapati kereta Nissan Teana itu didaftarkan atas seorang suspek yang lain.

Ekoran itu, kata beliau, pihaknya telah berjaya menahan pemilik kereta dan empat lagi ahli sindiket tersebut di sekitar Selangor.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.



“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan bekalan dadah diperoleh dari negara jiran di utara Semenanjung,” ujarnya.

Kok Chin menambah, pihaknya turut menyita pelbagai jenis aset seperti sembilan kenderaan termasuk jenis Ford Ranger, Honda City dan Toyota Vios selain 27 barangan kemas dan wang tunai dengan dianggarkan bernilai RM530,806.

“Semakan rekod mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah. Mereka kini direman lima hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button