Tumpangkan PATI, penyelia pusat kecantikan didenda RM78,000

Oleh – Syeikh Baran


Tumpangkan PATI, penyelia pusat kecantikan didenda RM78,000
Penyelia (tengah) yang didenda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini atas kesalahan membenarkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di premis syarikat itu, Januari lalu. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Penyelia sebuah pusat kecantikan didenda RM78,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan membenarkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di premis syarikat itu, Januari lalu.

Tertuduh, Leong Siew Mei, 63, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.



Hukuman tersebut dijatuhkan selepas wanita warga emas itu mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan 13 imigran haram warga Myanmar, Vietnam, Thailand dan Laos berusia antara 20 hingga 40 tahun memasuki dan berada dalam premis berkenaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati, premis berkenaan berselindung di sebalik perniagaan pusat kecantikan dengan menawarkan khidmat seks dan pelacuran di Jalan Medan Ipoh, Medan Ipoh Bestari dalam daerah Kinta pada pukul 11 malam, 12 Januari 2024.

Bagi kesalahan itu, hukuman yang diperuntukkan ialah denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM6,000 bagi setiap PATI dengan jumlah keseluruhan RM78,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button