Wang RM404,990 masuk akaun bekas MB Perlis

Oleh – Syeikh Baran


Wang RM404,990 masuk akaun bekas MB Perlis
Azlan Man ketika hadir di Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOF KOSMO!

Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini hari ini sejumlah RM404,990.90 dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man melalui transaksi dua keping cek, 10 tahun lalu.

Penolong Pengurus Cawangan Maybank, Hasimah Hassim berkata, transaksi pertama dilakukan pada 19 Februari 2014 melibatkan RM208,339.90 manakala transaksi kedua pada 9 Februari 2015 sebanyak RM196,651.



Menurut saksi pendakwaan ketiga itu, kedua-dua cek daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. dimasukkan ke dalam akaun semasa persendirian atas nama Azlan.

Hasimah, 54, yang bertugas di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Wisma FGV Jalan Raja Laut berkata, butiran kemasukan cek itu diperolehi melalui salinan penyata akaun bertarikh 28 Februari 2014 dan 28 Februari 2015.

Saksi menyatakan demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari kedua perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Hasimah yang mula berkhidmat dalam sektor perbankan pada 1993 itu berkata Azlan membuka akaun bank itu pada 1985.



Pada prosiding itu, saksi kemudian ditanya oleh peguam Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Azlan sama ada dokumen pembukaan akaun tertuduh itu adalah dokumen asli.

Peguam berkata, ini kerana dokumen tersebut menyatakan Azlan menetap di alamat kediaman rasmi Menteri Besar Perlis ketika akaun dibuka pada 1985, walhal ketika itu tertuduh belum memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Hasimah menjelaskan, ia bukan yang asal kerana pihak bank tidak mempunyai dokumen pertukaran alamat sejak pembukaan akaun pada 1985.

Menjelaskan perkara itu kepada Pegawai Pendakwa Mohammad Shaiful Nasir, saksi berkata, sistem bank hanya mempunyai maklumat pembukaan akaun berdasarkan cetakan komputer, bukan borang pembukaan akaun yang asal.



Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button