Bekas banduan dituduh miliki bahan, sokong, mengaku ahli IS

Oleh – Syeikh Baran


Bekas banduan dituduh miliki bahan, sokong, mengaku ahli IS
Anggota polis membawa Nik Mohd. Shalahuddin (dua dari kanan) untuk didakwa atas empat pertuduhan terlibat kumpulan pengganas IS di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Seorang bekas banduan kes kumpulan pengganas Islamic State (IS) didakwa sekali lagi atas empat pertuduhan memiliki bahan, menyokong dan mengaku keahlian dengan melakukan upacara baiah terhadap pemimpin kumpulan itu pada bulan lalu.

Tertuduh, Nik Mohd. Shalahuddin Zakaria, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.



Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa memiliki 1,398 keping gambar, 62 buah video dan 565 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) di dalam dua buah telefon pintar jenis Samsung Galaxy J7 dan Oppo A16K.

Kesemua bahan-bahan itu mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal di sini kira-kira pukul 9.15 pagi pada 10 Jun lalu.



Nik Mohd. Shalahuddin didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan harta yang telah digunakan atau diniat dalam melakukan kesalahan itu turut dirampas sekiranya disabitkan bersalah.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial, Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il.

Kesalahan itu dilakukan di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.15 malam pada 10 Jun lalu.

Menurut pertuduhan keempat, Nik Mohd. Shalahuddin didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan seorang lelaki iaitu pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas tersebut.



Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di Kampung Senang, Kota Jembal, di sini pada tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun atau denda dan harta yang telah digunakan atau diniat dalam melakukan kesalahan itu turut dirampas jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Shafiq tidak menawarkan jaminan kerana keempat-empat pertuduhan tersebut merupakan kes yang tidak boleh dijamin selaras dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).



Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes, serahan laporan pakar dan keputusan permohonan pemindahan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Nik Mohd. Shalahuddin ditahan di Johor dan dipenjarakan selama tiga tahun bermula 2018 hingga 2020 selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan IS.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button