CrowdStrike gangguan IT terbesar dalam sejarah

Oleh – Syeikh Baran


CrowdStrike gangguan IT terbesar dalam sejarah
Penumpang beratur panjang di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Ninoy Aquino, Filipina kelmarin. — Getty Images

Syarikat penerbangan, perkhidmatan perbankan, saluran media dan institusi kewangan di seluruh dunia terjejas selepas mengalami gangguan teknologi maklumat (IT) terbesar sejak beberapa tahun lalu.

Gangguan itu menyebabkan berpuluh-puluh ribu penerbangan di dunia tergendala dan ribuan lagi terpaksa dibatalkan, manakala penumpang dilaporkan ‘bersesak’ di lapangan-lapangan terbang.



Pengendali-pengendali lapangan terbang utama bertungkus-lumus untuk memastikan perkhid­matan di landasan lancar, selepas berlaku gangguan terhadap Microsoft Windows.

Hampir 39,000 penerbangan tergendala dan kira-kira 4,400 dibatalkan di seluruh dunia

American Airlines dan Delta memberitahu bahawa mereka akan mengeluarkan ‘travel wai­ver’ berhubung gangguan per­khidmatan yang berlaku tanpa sebarang caj kepada penumpang.

Pelancong Amerika Syarikat, Stephanie Thompson tidak dapat menaiki penerbangan pulang ke Dallas selepas melawat Britain akibat masalah tersebut.



“Kami tidak mendapat penjelasan daripada sesiapa. Kami sekeluarga membayar AS$6,800 (RM31,874) untuk tiket penerbangan sehala ke Dallas. Saya hanya mahu pulang,” katanya ketika bercakap dari Lapangan Terbang Edinburgh kelmarin.

Menurut Microsoft, keruntuhan sistem itu bermula pukul 7.00 malam (waktu tempatan) pada Khamis lepas.

Gangguan yang berlaku menjejaskan pengguna Windows yang menggunakan perisian ke­selamatan siber, CrowdStrike Falcon.

Bagaimanapun, CrowdStrike menyatakan bahawa mereka telah melancarkan penyelesaian untuk masalah itu.



“Saya mahu memohon maaf secara peribadi kepada setiap organisasi, setiap kumpulan dan setiap individu yang terjejas.

“Ia berkemungkinan mengambil masa beberapa hari untuk sistem Windows kembali pulih sepenuhnya dan seperti sedia­kala,” kata ketua eksekutif firma CrowdStrike, George Kurtz.

Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden segera berhubung dengan CrowdStrike untuk mengatasi masalah tersebut.

“Kami bersedia memberikan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas.



“Pemahaman kami adalah operasi penerbangan telah di­sambung semula ke seluruh negara, walaupun kesesakan masih berlaku,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran White House.

Laporan dari Belanda dan Britain pula menyatakan bahawa perkhidmatan kesihatan seperti hospital turut terkesan akibat gangguan itu.

Bagaimanapun, kesan penuh keruntuhan sistem Windows akibat masalah kemas kini CrowdStrike masih belum diketahui.

Pada masa sama, sebilangan syarikat media tergendala selepas mengalami isu teknikal yang mengganggu perkhidmatan mereka.



“Gangguan ini telah menamatkan siaran berita pagi, manakala stesen penyiaran ABC Australia juga menghadapi masa sukar,” kata stesen penyiaran Britain, Sky News.

Selain itu, sektor perbankan di Kenya dan Ukraine dilaporkan mengalami masalah dengan perkhidmatan digital masing-masing.

Di Australia pula, beberapa syarikat turut berdepan insiden serupa termasuk masalah pembayaran online serta gangguan kepada pembekal liputan te­lefon mudah alih dan per­khidmatan pelanggan .

Sementara itu, pemilik Tesla, Elon Musk berkata gangguan, itu menyebabkan ‘gangguan kepada rantaian bekalan automotif’.



Malah, operasi mahkamah dan penjara terpaksa ditangguhkan di negeri California.

“Skala gangguan besar seperti ini tidak pernah berlaku dan sudah pasti akan terpapar dalam sejarah,” kata pakar Institusi Kejuruteraan dan Teknologi Britain, Junade Ali.

Tambahnya, insiden terakhir yang menghampiri skala serupa adalah pada 2017.

Susulan masalah itu, saham CrowdStrike merosot sebanyak 11 peratus di New York. – AFP/AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button