Lagi kes kenderaan Singapura ‘samun’ RON95
Oleh – Syeikh Baran
Penularan klip video memaparkan seorang lelaki sedang mengisi minyak RON95 pada kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura di media sosial mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Video berdurasi 28 saat itu dimuat naik di laman X, Updateinfo meraih 341,00 tontonan dan lebih 1,609 perkongsian.
Dalam rakaman tersebut, lelaki yang memakai baju T lengan panjang berwarna merah itu kelihatan seolah-olah sedang berjaga-jaga dengan memerhatikan keadaan sekeliling.
Bagaimanapun, di ruangan komen ramai yang lebih mengecam pihak stesen minyak kerana membiarkan kenderaan asing menggunakan RON95.
Kata mereka, tindakan tersebut merupakn salah satu ketirisan dalam pemberian subsidi yang merugikan negara.
“Kena saman pemilik stesen minyak, baru dia ada akal dan inisiatif nak bertegas dengan penyamun subsidi dari negara jiran,” kata @ohozga.
“Jelas nombor pendaftaran asing, yang bagi orang asing guna RON95 kenapa? Ini jenis pemilik stesen minyak nak untung. Harap pihak berkuasa ambil tindakan segera,” tegas @asyuraa.
Dalam masa sama, netizen turut mempertikaikan tindakan staf di stesen minyak tersebut kerana tidak peka sebelum menerima pembayaran daripada pelanggan mereka.
Sementara itu, di ruangan komen ada yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah stesen minyak dekat Damasara, di sini baru-baru ini, bagaimanapun lokasi sebenar masih belum dapat dipastikan.
Sumber – KOSMO! ONLINE