Padah cuba rasuah polis, pengusaha besi lusuh didenda RM5,000

Oleh – Syeikh Baran


Padah cuba rasuah polis, pengusaha besi lusuh didenda RM5,000
Mohammad Shakir (tengah) didenda RM5,000 kerana merasuah pegawai polis di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Gara-gara cuba merasuah seorang pegawai polis berpangkat inspektor pada minggu lalu, seorang pengusaha besi lusuh warga Myanmar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Norashima Khalid memerintahkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Shakir Mohammad Zokoria, 27, mengekalkan pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.



Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM250 kepada seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Mohammad Shakir didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Kampung Balai Besar, Alor Tempoyak, Dungun pada pukul 3.15 petang, 15 Julai lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak menangkap tertuduh di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 1946 kerana tidak mempunyai lesen melakukan aktiviti perniagaan barangan lusuh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Kosmo! Online 16 Julai lalu melaporkan, seorang pengusaha premis barangan lusuh warga asing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba merasuah seorang pegawai polis.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button