Pura-pura tanya alamat sebelum larikan budak

Oleh – Syeikh Baran


Pura-pura tanya alamat sebelum larikan budak
TANGKAP layar video tular dua mangsa yang ditemui selamat.

Seorang lelaki menaiki kereta jenis Pero­dua Bezza yang melarikan dua kanak-kanak perempuan dipercayai berpura-pura bertanyakan alamat rumah sebelum membawa mangsa bersiar-siar di sekitar Jeram di sini kelmarin.

Difahamkan, suspek turut sempat menukar pakaian di sebuah rumah sebelum menurun­kan mangsa yang berusia enam dan lapan tahun itu di sekitar lokasi kejadian.



Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Supe­rintenden Mohd. Ambia Nordin berkata, maklumat itu diperoleh hasil rakaman percakapan pihaknya dengan dua kanak-kanak itu dan keluarga mangsa.

Menurut beliau, ketika kejadian dua mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan dikatakan baru selesai mengaji dan bermain di kawasan sebuah taman perumahan pada sebelah petang.

Mereka kemudian didakwa dihampiri Perodua Bezza berwarna hitam dinaiki seorang lelaki yang menunjukkan satu kertas untuk bertanyakan alamat rumah.

Dua daripada kanak-kanak itu menaiki kereta tersebut, manakala seorang lagi enggan lalu melaporkan perkara ber­kenaan kepada ibunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.



Jelas Mohd. Ambia, kedua-dua mangsa kemudian diturunkan suspek di sebuah taman perumahan berdekatan selepas sejam kehilangan mereka.

Pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan atau dicabul.

Berdasarkan keterangan, mereka memaklumkan hanya dibawa suspek ‘pusing’ di sekitar Jeram dengan menaiki Bezza tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya telah merekodkan keterangan empat individu iaitu dua kanak-kanak itu dan ibu mereka bagi membantu siasatan.

Polis masih sedang meneruskan siasatan termasuk mengenal pasti identiti suspek dan motif sebenar kejadian.



Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Justeru, beliau turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak masing-masing yang berada di luar rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, penduduk di daerah ini gempar dengan sebuah video tular memaparkan kehila­ngan kanak-kanak yang didakwa diculik lelaki yang menaiki sebuah kereta Bezza.

Namun, dua kanak-kanak itu ditemukan selamat selepas suspek didakwa menurunkan mang­sa di taman berdekatan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button