Remaja lemas mandi di sungai Kampung Pulau Meranti
Oleh – Syeikh Baran
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas selepas mandi di sungai di Kampung Pulau Meranti di sini, semalam.
Mangsa dikenali Nik Ahmad Muzakkir Nik Razali ditemukan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kira-kira pukul 6.36 petang.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan kira-kira pukul 4.41 petang, semalam.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya telah digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Asri Che Harun turut dibantu pasukan PPDA dari BBP Shah Alam serta BBP Pelabuhan Klang.
“Kami difahamkan, mangsa bersama beberapa rakan lain dikatakan mandi di sungai itu sebelum mangsa lemas dan dihanyutkan arus.
“Operasi mencari dan menyelamat akhirnya berhasil apabila mangsa ditemui pada pukul 6.36 petang kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumber – KOSMO! ONLINE