‘Dia isteri sempurna’

‘Dia isteri sempurna’

'Dia isteri sempurna'
VIDEO persandingan Nor Syahidan bersama Noor Aishah meraih lebih 1.4 juta tontonan dengan rata-rata netizen mendoakan kebahagiaan mereka. FOTO Ihsan Noor Aishah Arshad

Kuala Lumpur: “Saya langsung tak pandang kekurangannya kerana di mata saya, dia (isteri) wanita yang sempurna,”

Itu kata Nor Syahidan Ismail, 35, yang mencuri perhatian warganet selepas video persandingannya dengan isteri, Noor Aishah Arshad, 26, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal (kudung kaki kanan) tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 24 saat itu, Nor Syahidan dilihat memakai busana pengantin dan berjalan dengan isterinya yang memakai tongkat.



Sehingga kini, video itu meraih lebih 1.4 juta tontonan dengan rata-rata netizen mendoakan kebahagiaan mereka.

'Dia isteri sempurna'
NOOR Aishah menggunakan tongkat di hari persandingannya bersama Nor Syahidan. FOTO Ihsan Noor Aishah Arshad

Dia yang juga Penyelia Rela di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Kampung Pandan, di sini, berkata hatinya tertarik untuk mengenali Noor Aishah ketika kali pertama bersua.

“Seingat saya, tarikh perkenalan kami adalah 16 September tahun lalu iaitu ketika isteri nak menyertai kejohanan Sukan Asia Hangzhou.

“Entah kenapa, saya yakin dia wanita baik dan lebih membuatkan saya tertarik serta jatuh hati adalah senyumannya yang manis dan wajahnya kemerahan apabila malu.

“Tapi susah nak memikatnya kerana dia buat tak endah sampai saya nak putus harapan,” katanya ketika dihubungi, semalam.



Menurut Nor Syahidan, waktu pertama kali keluar bersama, dia terus membawa Noor Aishah ke rumah keluarganya.

“Alhamdulillah, keluarga berkenan dengannya dan merestui hubungan kami.

“Isteri suka simpan kenangan. Apabila dengan dia, saya belajar menjadi lelaki sweet dan paling penting, isteri jenis menghormati orang serta tahu bagaimana nak tenangkan saya.

“Harapan saya cinta kami tak luntur, dikurniakan zuriat, kesihatan dan kekuatan untuk menjaga serta menyayangi isteri hingga ke Jannah,” katanya.



'Dia isteri sempurna'
NOR Syahidan dan Noor Aishah menerima satu sama lain. FOTO Ihsan Noor Aishah Arshad

Sementara itu, Noor Aishah yang juga atlet paralimpik menembak kebangsaan berkata, dia menerima lamaran Nor Syahidan kerana terpikat dengan sikap penyayangnya.

Bekas pesakit barah tulang itu berkata, sehingga kini, dia pun tidak pernah menyangka akan berkahwin buat kali kedua selepas perkahwinan pertamanya berakhir dengan perpisahan, dua tahun lalu.

“Saya tak pernah jumpa lelaki yang tahu status saya tetapi masih nak berkawan. Sampai sekarang pun saya tak percaya suami meminang saya tapi ditakdirkan dia jodoh saya.

“Semoga suami terus menyayangi saya dan hubungan kami berkekalan sehingga ke Jannah,” katanya yang berstatus OKU sejak berusia 15 tahun akibat barah tulang.



‘Dia isteri sempurna’


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Mesej Joe Biden Kepada Mahathir, Muhyiddin Dan Hadi

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button