Curi wang RM24.2 juta: 10 termasuk pegawai bank ditahan SOSMA, dituduh Khamis

Oleh – Syeikh Baran


Curi wang RM24.2 juta: 10 termasuk pegawai bank ditahan SOSMA, dituduh Khamis
Gambar Hiasan

Pengurus bank antara 10 individu yang terlibat dengan sindiket curi wang deposit tetap milik pelanggan dianggarkan bernilai RM24.7 juta akan dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu, Khamis ini.

Sembilan daripadanya akan dituduh individu di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi individu akan didakwa mengikut kesalahan berkaitan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, pasukan penyiasat telah mengenal pasti wujud elemen kumpulan jenayah terancang dalam sindiket tersebut yang bertindak secara bersama bagi mendapatkan faedah material.

“Ini merupakan kali pertama kesalahan jenayah komersial diambil tindakan di bawah SOSMA. Pada 22 Julai lalu, timbalan pendakwa raya telah memberikan arahan untuk menuduh,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Kata Ramli, turut dituduh adalah dalang sindiket terbabit serta pengurus bank yang bersubahat dalam kegiatan terbabit.



Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket ini memulakan perancangan kegiatan sejak penghujung tahun 2023 dan mula bertindak pada Mac hingga Jun lalu.

“Mereka didapati mempunyai niat dan perancangan yang rapi sehingga berjaya menghasilkan kad pengenalan palsu dipercayai boleh digunakan dalam urusan bank sehingga mampu memanipulasi alat pengimbas cap jari yang digunakan oleh pihak bank.

“Kita percaya kegiatan sindiket ini telah berjaya dilumpuhkan melalui pertuduhan terhadap 10 individu berkaitan,” katanya.

15 Jun lalu, Kosmo! melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM 24.2 juta.



Ramli dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Katanya, seramai 14 individu ditahan termasuk empat pegawai bank dan ahli perniagaan bergelar Datuk di beberapa serbuan di Perlis dan Sabah.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button