Jia Hui selamat ditemui di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor

Oleh – Syeikh Baran


Jia Hui selamat ditemui di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor
KUMAR (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar memaklumkan perkembang terkini kes kehilangan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Jia Jui, Sabtu lalu.

Kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Sabtu lalu selamat ditemui di sebuah hotel murah di Batang Kali, Kuala Kubu Baru, Selangor, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa, Albertine Leo Jia Hui ditemui kira-kira pukul 4.30 pagi.



Menurutnya, dalam serbuan itu juga polis turut menangkap seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di lokasi yang sama.

“Setakat ini seramai lima tangkapan dibuat melibatkan tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 28 hingga 55 tahun.

“Empat suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita telah direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 31 tahun itu akan direman petang ini.



Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dibawa lari dengan menaiki sebuah kereta ke Lembah Klang sebelum dikurung di sebuah bilik hotel bajet di Batang Kali.

“Ketika ditemui tiada kecederaan fizikal dikesan pada mangsa namun polis akan membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya.

Kumar dalam pada itu turut memaklumkan tiada sebarang panggilan diterima keluarga mangsa untuk meminta wang tebusan atau sebagainya.

Ujarnya, polis telah membuka dua kertas siasatan iaitu Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan mengurung secara sulit dan salah serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.



Sumber – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button