Polis sahkan dompet milik Nur Farah Kartini

Oleh – Syeikh Baran


Polis sahkan dompet milik Nur Farah Kartini
Unit Siasatan Forensik Sub akuatik PDRM menemui kunci kereta dan dompet dipercayai berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini di Kampung Batu 4, Trolak, semalam.- Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

Polis mengesahkan menemui dua rangkai kunci kereta dan dompet mengandungi MyKad yang ditemui di Sungai Trolak, Batu 4, Perak, semalam, milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pencarian berkenaan telah dilakukan Pasukan Forensik Unit Selam Bukit Aman.



“Pasukan telah menemui dua rangkai kunci kereta dan satu dompet mengandungi MyKad mangsa. Kedua-dua barang kes ini dipercayai berkaitan dengan kes pembunuhan yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek lelaki berusia 26 tahun disambung reman tujuh hari sehingga 29 Julai selepas reman pertama selama tujuh hari tamat semalam.

Terdahulu Kosmo! melaporkan suspek ditahan 15 Julai pada hari yang sama penemuan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.

Polis telah menemukan telefon pintar di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor manakala beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.



Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu.

Jenazah mangsa yang dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dituntut pada Khamis lalu seterusnya dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pahang.

Sumber -KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button