Pura-pura bayar guna QR, lelaki larikan telefon bimbit peniaga
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan seorang lelaki melarikan telefon bimbit milik seorang peniaga dengan berpura-pura membayar menggunakan kaedah kod QR, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Bogor, wilayah Jawa Barat.
Dalam video yang dimuat naik di laman sosial, suspek dilihat berpura-pura membeli barangan di sebuah kedai runcit.
Peniaga kemudian menghulurkan telefon bimbit miliknya untuk memberikan kod QR kepada suspek sebelum lelaki itu dengan pantas mencuri peranti tersebut dan melarikan diri.
Mangsa cuba mengejar suspek, namun gagal.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polis Cibinong, Asisten Komisioner Polis Yunli Pangestu berkata, suspek telah ditahan.
“Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku mempunyai masalah kewangan. Ketika melihat peniaga leka, dia terus mencuri telefon bimbit itu,” kata Yunli. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE