Selepas ibu, anak pula maut
Oleh – Syeikh Baran
Selepas ibu meninggal dunia, anak perempuan mangsa pula maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 10, Jalan Pasir Puteh-Machang dekat Kampung Kandis di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu menghembuskan nafas semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Anis, di sini hari ini.
Menurutnya, selain itu, ibu saudara kepada kanak-kanak tersebut berusia 18 tahun yang menaiki kereta sama ketika ini mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.
“Wanita yang berusia 36 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Viva.
“Anaknya yang berusia tiga tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Anis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu wanita itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah SUV jenis Toyota Corolla Cross dipandu wanita berusia 30 tahun.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang wanita maut manakala anak perempuannya yang berusia tiga tahun parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah SUV.
Sumber – KOSMO! ONLINE