ASP didakwa terima rasuah tutup siasatan kes kutipan derma

Oleh – Syeikh Baran


ASP didakwa terima rasuah tutup siasatan kes kutipan derma
Eddie Lau (kiri) ketika di hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 bagi menutup siasatan pekerja sebuah syarikat berkaitan kutipan derma tanpa permit, tahun lalu.

Tertuduh, Eddie Lau Lay Chuong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan termasuk pilihan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.



Mengikut pertuduhan, tertuduh semasa kejadian yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah menerima suapan wang tunai RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat pencetakan berusia 57 tahun sebagai dorongan menutup siasatan terhadap pekerja syarikatnya berkaitan Seksyen 32 (2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Eddie Lau turut didakwa atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.



Kesalahan tersebut dilakukan di rangkaian restoran kedai kopi terkemuka di Subang Jaya kira-kira pukul 4.18 petang pada 6 November tahun lalu.

Difahamkan tertuduh kini bertugas di IPD Shah Alam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwan Nazari manakala tertuduh diwakili Peguam Syamil Mohd. Othman.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button