Jerung di Brazil positif kokain
Oleh – Syeikh Baran
Jerung-jerung yang hidup bebas di luar pantai Brazil disahkan positif dadah buat kali pertama, demikian menurut kajian saintis seperti dilaporkan saluran berita CNN.
Kumpulan saintis tersebut melakukan kajian ke atas 13 ekor jerung spesies sharpnose yang diambil dari perairan bandar Rio de Janeiro. Mereka menemui dadah jenis kokain pada hati serta tisu otot dalam setiap sampel tersebut.
Menurut penyelidik di Yayasan Oswaldo Cruz, spesies itu dipilih kerana saiznya yang kecil selain ia mendiami kawasan yang terdedah kepada pelepasan bahan tercemar untuk keseluruhan kitaran hayatnya.
Kajian menunjukkan bahawa tahap kokain adalah sekitar tiga kali lebih tinggi dalam tisu otot berbanding hati, manakala jerung betina memiliki kokain yang lebih tinggi dalam tisu otot berbanding jantan.
Ketua pengarang kajian yang juga ahli ekotoksikologi yayasan itu, Enrico Mendes Saggioro berkata, kokain mencemarkan laut akibat pembuangan kumbahan daripada manusia yang menggunakannya.
“Ia juga termasuk makmal haram yang memproses bahan terlarang itu.
“Peningkatan penggunaan dan infrastruktur rawatan kumbahan yang lemah menyebabkan peningkatan paras kokain di laut,” kata penyelidik. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE