Penoreh getah tak mengaku bersalah noda anak
Oleh – Syeikh Baran
Seorang penoreh getah tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan merogol anaknya di kawasan Gemencheh di Tampin, sejak lebih empat tahun lalu.
Tertuduh berusia 52 tahun membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah merogol mangsa yang kini berusia 24 tahun yang mana oleh kerana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 8 Julai lalu kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah rumah di Gemencheh.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah merogol mangsa yang sama antara bulan November sehingga Disember 2019 pada waktu pagi di rumah yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan mengenai wang jaminan tersebut.
Norma kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan sekiranya tertuduh melanggar syarat tersebut, jaminan akan ditarik serta merta.
Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini sebagai sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.
Sumber – KOSMO! ONLINE