Tiga termasuk 2 beradik didakwa tipu pengarah syarikat pembinaan lebih RM900,000

Oleh – Syeikh Baran


Tiga termasuk 2 beradik didakwa tipu pengarah syarikat pembinaan lebih RM900,000
Gambar Hiasan

Tiga individu termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu pengarah syarikat pembinaan untuk mendapatkan projek pembinaan pangsapuri bernilai lebih RM900,000.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, dan pasangan adik beradik, I. Kumara, 53, dan Sumathi, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.



Mereka didakwa bersama-sama menipu Hin Aik Kwang, 48, iaitu pengarah sebuah syarikat pembinaan dengan memperdayakannya dalam urusan bagi mendapatkan Projek Pembinaan Pangsapuri di Kampung Sungai Penchala.

Ia bagi membolehkan syarikat pembinaan itu mencagarkan satu lot tanah sedangkan kesemua tertuduh tahu lot tanah itu telah dicagarkan kepada sebuah bank pada 2013.

Berikutan itu, kesemua tertuduh telah menyalahgunakan wang RM987,084.17 milik syarikat pembinaan tersebut yang dipindahkan ke dalam empat akaun bank bagi kepentingan peribadi.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kondominium di Brickfields di sini pada 2018 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar tidak menawarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Namun peguam Dhiyaulhaq Mohd. Arifin yang mewakili Remyrizal@ Wellen memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara.

Peguam M. Manoharan yang mewakili Kumara dan Sumathi turut memohon supaya jaminan dibenarkan kerana anak guamnya menanggung keluarga.



Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Ogos ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button