Culik Albertine Leo: Ibu bapa tak kenal suspek

Oleh – Syeikh Baran


Culik Albertine Leo: Ibu bapa tak kenal suspek
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar (tengah) ketika menunjukkan barang kes yang dirampas dalam Ops Lejang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Polis mengesahkan ibu atau bapa kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, yang diculik, Sabtu lalu tidak mengenali lima suspek yang ditahan berhubung kes penculikan itu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, sehingga kini pihaknya masih dalam siasatan untuk memuktamadkan motif penculikan kanak-kanak itu.



“Proses siasatan masih lagi berjalan dan motif penculikan juga masih dalam siasatan. Selepas dilengkapkan siasatan, kita akan maklumkan hasil siasatan.

“Hubungan suspek sesama suspek juga kita masih siasat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kemungkinan pihak polis akan membuat tangkapan baharu, Kumar berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya memaklumkan perkara itu.

“Seperti saya katakan, siasatan sedang dijalankan. Masih terlalu awal untuk katakan begitu (ada tangkapan baharu atau tidak),” katanya.



Selain itu, apabila ditanya mengenai identiti suspek kelima yang dilihat memakai baju festival Bon Odori ketika ditahan polis yang mungkin memberi maksud dia adalah peniaga di lokasi kejadian penculikan itu, Kumar berkata, baju itu boleh dibeli sesiapa sahaja.

Pada masa sama, Kumar berkata, empat suspek pertama yang ditahan reman selama empat hari sehingga esok akan diberi jamin polis sekiranya tiada keperluan untuk disambung reman.

“Untuk empat tangkapan yang direman sehingga esok, sekiranya tiada keperluan, kita akan beri jamin polis, tetapi tertakluk kepada perkembangan semasa siasatan yang dijalankan,” jelasnya.

Albertine Leo disedari hilang kira-kira jam 8.30 malam oleh ibu bapanya yang berniaga di festival Bon Odori yang diadakan di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini.



Kes kehilangan kanak-kanak itu kemudian diklasifikasikan daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah, susulan tangkapan pertama dibuat ke atas tiga suspek, Isnin lalu.

Dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri, sebelum tangkapan susulan dibuat terhadap seorang lagi wanita berusia 40-an ditahan sekitar daerah ini jam 12.15 tengah malam kelmarin.

Keempat-empat suspek warga tempatan itu kemudian ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Polis kemudian berjaya menyelamatkan mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor kira-kira jam 4.45 pagi kelmarin sebelum menahan suspek kelima, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ada bersama mangsa.



Suspek itu dipercayai membawa mangsa dari Johor ke Selangor dengan menaiki sebuah kereta.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Albertine Leo juga sudah selamat pulang ke pangkuan keluarga petang kelmarin.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button