Denda RM50,000 kerana ‘kelentong’ guru sambilan

Oleh – Syeih Baran


Denda RM50,000 kerana 'kelentong' guru sambilan
Muhammad Anuar didenda RM50,000 atas kesalahan tipu GSTT berkaitan bayaran balik emolument berjumlah RM30,749.99. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

Bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menipu seorang guru Sambilan Tidak Terlatih (GSTT) berkaitan bayaran balik emolumen berjumlah lebih RM30,000, tujuh tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Anuar Mat Zin,39, yang menukar pengakuannya kepada bersalah pada sebutan kes berkenaan, tadi.



Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang GSTT, Mohd Zulhilmi Ismail,38, untuk mempercayai bayaran balik emolumen bagi Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), elaun Sara Hidup (COLA) dan Elaun Khidmat Awam (EKA) kerana peletakan jawatan berjumlah RM30,749.68 adalah tulen.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM, di sini, antara 3 hingga 8 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Ketika dituduh kali pertama pada 30 Ogos tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menipu empat GSTT berkaitan berkaitan bayaran balik emolumen berjumlah RM154,864.40.



Namun, tertuduh melalui peguamnya menghantar representasi berhubung pertuduhan itu dan diterima pihak pendakwaan yang bersetuju menawarkan empat pertuduhan pilihan.

Tertuduh hanya mengaku pertuduhan pilihan pertama sahaja dan baki tiga pertuduhan pilihan diambil pertimbangan atau ‘take into consideration’ (TIC) oleh mahkamah selaras dengan peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah selepas dimaklumkan pendakwaan.Mengikut fakta kes, sewaktu kejadian tertuduh seorang penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Tadbir (N27) di Pejabat Sumber Manusia (JAIM) yang bertanggungjawab mengawal selia pegawai bawahan dalam menguruskan hal berkaitan perkhidmatan guru-guru agama bagi sekolah menengah dan rendah, hal gaji dan kontrak.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Melaka menerima aduan pada Mei 2021 bahawa tertuduh menyediakan Surat Tuntutan Bayaran Balik Gaji Terlebih Bayar kepada empat guru termasuk Mohd Zulhelmi.

Siasatan mendapati tertuduh membuat dan menandatangani (bagi tuntutan November 2016 hingga November 2017) kepada Mohd Zulhelmi berjumlah RM30,749.99 bertarikh 3 November 2017 dan bayaran dibuat oleh pengadu antara 3 November hingga 19 November 2018 di Bahagian Khidmat Pengurusan JAIM sebagai dalam surat tuntutan.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button