Kes tembak KLIA: Tiga lagi dokumen, laporan kimia tempat kejadian akan diserah

Oleh – Syeikh Baran


Kes tembak KLIA: Tiga lagi dokumen, laporan kimia tempat kejadian akan diserah
Hafizul ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

Pihak pendakwaan hari ini memaklumkan terdapat baki tiga lagi dokumen yang belum diserahkan kepada pihak pembelaan dalam kes Hafizul Hawari berhubung insiden melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Pada sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah berkata tiga dokumen itu ialah laporan perubatan penuh, kimia tempat kejadian dan forensik.



“Hari ini ditetapkan serahan dokumen, saya telah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen-dokumen secara separa.

“Dokumen-dokumen yang masih belum diserahkan adalah laporan perubatan penuh, laporan kimia tempat kejadian dan forensik. Justeru saya memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen seterusnya,” kata Nor Shazwani.

Mendengar perkara itu, Hakim Amir Affendy Hamzah kemudian bertanya adakah tiga lagi dokumen itu bagi melengkapkan serahan dokumen, Nor Shazwani memaklumkan setakat hari ini, itu sahaja dokumen yang belum diserahkan.

Semasa prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul kemudian mengesahkan dokumen separa yang telah diserahkan dan tiga lagi dokumen yang belum diserah kepada pembelaan.



 

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak Hakim Amir kemudian menetapkan 28 Ogos ini bagi sebutan semula kes bagi serahan tiga lagi dokumen lanjutan seperti yang dimaklumkan pihak pendakwaan.

Terdahulu, Hafizul, 38, yang berbaju putih kelihatan tenang tiba di mahkamah pada pukul 9.40 pagi.

Pada 25 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan selain mahkamah menolak ikat jami diberikan kepada tertuduh berikutan dua pertuduhan itu serius.

Berikutan tiada ikat jamin diberikan, Hafizul kekal ke Penjara Sungai Buloh sehingga sebutan semula kesnya.



Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa telah melakukan cubaan bunuh terhadap Farah Md. Isa, 38, (Farah Cie) di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal, 1 KLIA di sini pukul 1.09 pagi pada 14 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Pertuduhan kedua, Hafizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol senjata yang boleh menyebabkan kematian pada waktu, tempat dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.



Selain Mahkamah Sepang, Hafizul turut didakwa dan mengaku tidak salah tujuh pertuduhan tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan mercun.

Ketujuh-tujuh kesalahan itu dilakukan oleh Hafizul di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di pekarangan Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, Kota Bharu pukul 2 petang pada 15 April lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas melarikan diri lebih 36 jam, Hafizul yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Hafizul ditahan di depan sebuah hospital swasta kira-kira pukul 3 petang.



Terdahulu pada 14 April lalu Kosmo! melaporkan seorang pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak suspek dalam kejadian di KLIA.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button