Misteri bau busuk terjawab, mayat mereput dalam bilik sewa
Oleh – Syeikh Baran
Misteri bau busuk dari bilik sewa di tingkat dua sebuah premis di Jalan Lorong Haji Yacoob, Kampung Air di sini, terungkai selepas penemuan mayat seorang lelaki malam tadi.
Mayat lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditemukan dalam keadaan membengkak dan berbau di atas tilam bilik sewanya, kira-kira jam 9 malam.
Difahamkan, penghuni bilik sewa lain di premis berkenaan curiga dengan bau busuk dan mengalir cecair dari bilik berkenaan sejak petang semalam.
Penghuni kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pengurus premis sebelum membuka pintu bilik dan menemukan mayat dalam keadaan terbaring di atas tilam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan mendapati mangsa adalah pekerja di sebuah restoran yang terletak di tingkat bawah bilik sewanya.
Katanya, penemuan mayat lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan bedah siasat akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Sumber – HARIAN METRO