Papan iklan gergasi tawar pasport untuk dijual
Oleh – Syeikh Baran
Seorang ahli parlimen Thailand menyuarakan kebimbangan tentang sebuah papan iklan gergasi berbahasa Mandarin di Bangkok yang mengiklankan penjualan pasport asing, lapor portal berita Thai PBS semalam.
Wiroj Lakkhanaadisorn daripada Parti Langkah Kehadapan berkata, iklan itu menyasarkan rakyat China yang menetap atau berniaga di kawasan Din Daeng dan Huai Khwang, sekitar Bangkok.
Menurutnya, iklan tersebut menawarkan pasport dari beberapa buah negara untuk dijual pada harga berbeza.
Sebagai contoh, pasport Indonesia dijual pada harga 30,000 yuan (RM19,314), Vanuatu 70,000 yuan (RM45,066), Kemboja dan Turkiye masing-masing sebanyak 150,000 yuan (RM95,572).
Maklumat pada papan tanda itu mendakwa bahawa pasport yang dijual itu adalah tulen dan proses permohonan mengambil masa kira-kira 30 hari, dengan jaminan ia dihasilkan dengan penuh kerahsiaan.
Pembayaran perlu dibuat hanya apabila pasport siap.
Wiroj berkata, kerajaan mahupun polis mungkin tidak berminat dengan papan iklan itu kerana ia menampilkan tulisan China.
Namun, beliau memberi amaran bahawa jika mesej mengenai pasport asing untuk dijual itu adalah benar, Thailand mungkin menjadi hab jenayah transnasional untuk jualan pasport asing.
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Imigresen, Panthana Nutchanart berkata, papan iklan berkenaan tidak menyalahi undang-undang kerana pasport yang ditawarkan untuk dijual itu tidak melibatkan Thailand.
Beliau mendakwa bahawa penjualan pasport adalah perkara biasa di beberapa buah negara.
Dalam perkembangan terbaharu, papan iklan itu telah dialihkan oleh agensi yang bertanggungjawab memasangnya.
Seorang pegawai agensi pengiklanan tempatan menyatakan sebuah syarikat Singapura menghubungi mereka untuk meletakkan papan iklan itu sebelum ini.
Beliau berkata, agensi itu tidak menyemak dengan teliti kandungan mesej tersebut kerana syarikat Singapura itu kelihatan boleh dipercayai. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE