Umur 19 tahun dah pandai seludup dadah ke Sarawak

Oleh – Syeikh Baran


Umur 19 tahun dah pandai seludup dadah ke Sarawak
Azman Shari’at (dua kiri) menunjukkan antara barang rampasan dadah jenis Methamphetamine pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis KLIA, Sepang hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis selepas cuba menyeludup dadah ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.24 malam di Balai Perlepasan KLIA Terminal 2 itu, suspek ditahan bersama dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 15.75 kg yang bernilai RM504,000.



Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, suspek ditahan susulan imbasan terhadap kotak makanan dibawa yang memaparkan imej mencurigakan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui 15 plastik bungkusan berwarna hijau yang ditulis ‘Qing Shang’ dan turut diletakkan bersama bungkusan makanan ringan yang lain.

“Semakan mendapati, suspek akan berlepas ke Sarawak pada hari sama. Suspek juga pertama kali datang ke Kuala Lumpur sehari sebelum kejadian semata-mata mahu mendapatkan bekalan dadah itu.

“Modus operandi digunakan suspek adalah menyembunyikan dadah dalam kotak berisi makanan ringan selain menggunakan perkhidmatan ‘self check-in’ yang dianggap sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Azman berkata, semakan rekod mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button