16 kereta mewah RM1.24 juta disita

Oleh – Syeikh Baran


16 kereta mewah RM1.24 juta disita
Norlela menunjukkan kenderaan import yang disita pihaknya dalam operasi dilaksanakan Rabu lalu. – Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Sebanyak 16 buah kenderaan import bernilai lebih RM1.24 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja (JKDM) dalam serbuan di sebuah gudang berlesen di Setapak di sini, Rabu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) melaksanakan operasi itu pada pukul 2.30 petang.



“Kita menyita sejumlah kenderaan import yang disimpan melebihi tempoh penyimpanan 48 bulan di sebuah gudang berlesen.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan menemukan kenderaan terbabit seterusnya didapati gagal mematuhi syarat dalam lesen di bawah Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967.

“Bagi kenderaan import, syarat lesen menetapkan tempoh penyimpanan yang dibenarkan adalah selama 48 bulan di gudang berlesen,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam WPKL, di sini hari ini.

Jelasnya, kenderaan yang disita itu membabitkan jumlah cukai dan duti import sebanyak RM2.35 juta.



Pemiliknya gagal mengikrarkan kepada kastam sejumlah kenderaan yang masih belum dibayar cukai dan cuba mengaburi pihak berkuasa di sebalik lesen import yang luput tempoh.

“Syarikat ini juga gagal dan enggan menjelaskan tunggakan cukai kenderaan import dan menyalahgunakan kemudahan pengecualian cukai yang diberikan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki apa-apa barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Orang ramai digesa membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.



“Maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button