Makmal proses ketum dalam belukar bukit

Oleh – Syeikh Baran


Makmal proses ketum dalam belukar bukit
Ahmad Shafiki (kanan) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang semalam. – Foto IHSAN POLIS

Penahanan dua lelaki di dalam sebuah trak pikap di kawasan belukar berjaya membongkar kepada penemuan sebuah bukit yang dijadikan sebagai makmal memproses sebanyak 608 kilogram (kg) daun ketum di atas kawasan bukit di Kampung Pek, di sini semalam.

Kedua-dua lelaki itu dicekup kira-kira pukul 11.30 pagi semasa mereka berada di dalam sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux.



Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek berusia 51 dan 36 tahun dan kenderaan itu menjumpai tiga biji pil kuda.

Menurutnya, siasatan lanjut terhadap mereka telah membawa kepada penemuan lokasi memproses air ketum yang berada 2 kilometer dari tempat mereka ditangkap.

Makmal memproses ketum yang diserbu polis di Kampung Pek, Machang semalam. – Foto IHSAN POLIS

“Pemeriksaan di atas bukit itu menjumpai sebanyak 608 kg daun ketum, 106 liter air ketum dan alat memproses daun ketum.

“Kawasan tersebut hanya boleh dimasuki dengan cara berjalan kaki kerana ia terletak di atas bukit selain perlu meredah belukar,” katanya.



Mengulas lanjut, Ahmad Shafiki memberitahu, kesemua rampasan di lokasi itu dianggarkan bernilai RM13,265 dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkait Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu kesalahan melibatkan penyalahgunaan ketum.

“Siasatan lanjut mendapati, mereka baru lima hari menjalankan kegiatan memproses air ketum di kawasan tersebut yang berada jauh daripada penempatan penduduk dan jalan utama.

“Meskipun berada di atas bukit, lokasi itu juga berada berdekatan dengan alur sungai sekali gus memudahkan mereka untuk mengambil air bagi memproses daun ketum,” ujarnya.



Ahmad Shafiki berkata, sehubungan itu, polis terus menjalankan rondaan di kawasan belukar di sekitar Kampung Pek berikutan terdapat beberapa kes tangkapan melibatkan kegiatan memproses ketum di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button