Penolong akauntan dituduh pecah amanah wang Kerajaan Negeri Perlis

Oleh – Syeikh Baran


Penolong akauntan dituduh pecah amanah wang Kerajaan Negeri Perlis
MOHD Reimi (dua dari kiri) berjalan keluar selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.

Seorang penolong akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang milik Kerajaan Negeri Perlis bernilai RM81, 585.04 antara tahun 2018 hingga 2019.

Tertuduh, Mohd Reimi Ismail, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.



Mengikut kertas pertuduhan, dia yang merupakan Penolong Akauntan Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis Gred W32 didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM81,585.04.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di tiga bank berbeza di sini dari 29 Jun 2018 hingga 5 September 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Nurul Atiqah turut memohon syarat tambahan daripada mahkamah supaya tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM negeri, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.



Tertuduh yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung seorang isteri, empat anak yang masih bersekolah selain menguruskan bapanya yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

Hakim Norsalha memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Tertuduh membayar ikat jamin berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button