Simpan rokok seludup lebih RM200,000 di rumah terbongkar

Oleh – Syeikh Baran


Simpan rokok seludup lebih RM200,000 di rumah terbongkar
Norlela (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas pihaknya di rumah teres bertingkat di Pahang 13 Julai lalu. – Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Taktik sindiket menggunakan kediaman sebagai tempat menyimpan bekalan rokok putih dan kretek bernilai RM203,120 terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja (JKDM) menyerbu sebuah rumah teres bertingkat di Taman Shahzan, Kuantan, Pahang.

Difahamkan, serbuan dijalankan pasukan Operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) kira-kira pukul 7.15 malam, 13 Julai lalu.



Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, pihaknya bertindak menyita lebih 1.2 juta batang rokok bernilai RM203,120.

“Rampasan ini membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM 766,880. Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah rokok putih dan kretek berbagai jenama yang disyaki tak berkastam.

“Kita juga percaya bekalan ini diperoleh dari negara jiran dan diseludup masuk melalui ‘jalan tikus’.

“Pengimport rokok adalah dibenarkan dengan syarat lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Kompleks Kastam WPKL, di sini, hari ini.

Jelasnya, kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.



“Untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” pesannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button