Sorok rokok seludup di ladang kenaf Chuping

Oleh – Syeikh Baran


Sorok rokok seludup di ladang kenaf Chuping
PGA menemui ratusan karton rokok seludup yang ditinggalkan di sebuah kontena terbiar di ladang kenaf Chuping, semalam.

Taktik menyorokkan rokok seludup di ladang kenaf gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah rokok seludup bernilai lebih RM90,000 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, ketika kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota PGA Batalion 18 sedang menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Malaysia-Thailand.



Katanya, hasil maklumat risikan yang diperolehi, pasukan itu membuat pemeriksaan di sebuah kontena putih terbiar yang mana di dalamnya terdapat tujuh bungkusan plastik hitam yang ditinggalkan di ladang kenaf di Chuping dekat sini.

“Hasil pemeriksaan, kesemua bungkusan plastik hitam itu mengandungi 358 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai.

“Antara jenama rokok yang dirampas adalah Fu Rong Wang (215 karton), Gun Binyan (83 karton) dan Shung Xi sebanyak 60 karton dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM94,512,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shokri, kesemua rokok yang dirampas tidak memenuhi standard keselamatan dan kesihatan ditetapkan oleh kerajaan.



Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastan 1967 atas kesalahan cubaan menyeludup rokok yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali handa nilai rampasan atau RM100,000.

Katanya lagi, polis Padang Besar memberi amaran terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button