Dua maut Toyota Hilux bertembung treler
Oleh – Syeikh Baran
Dua maut manakala tiga lagi cedera selepas trak pikap dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux, Lai Thin Watt,79, dan seorang penumpang, Li Xin Chun,46.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 1.20 tengah hari itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur manakala treler berkenaan dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian kenderaan telah bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah Kuala Lumpur.
“Akibat kejadian tersebut pemandu dan seorang penumpang trak pikap meninggal dunia di tempat kejadian dan tiga lagi penumpang mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, mangsa yang menerima rawatan di zon merah dan zon kuning berada dalam keadaan stabil.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Dalam pada itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati dua lelaki tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux.
“Pihak bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dihantar ke hospital,”ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE