Pekerja swasta rugi RM312,434 ditipu ‘phone scam’

Oleh – Syeikh Baran


Pekerja swasta rugi RM312,434 ditipu ‘phone scam’
Gambar Hiasan

Seorang pekerja swasta di Bentong mengalami kerugian sebanyak RM312,434 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran barang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 31 Mac tahun lalu selepas mangsa yang merupakan perempuan berusia 39 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat penghantaran barang.



“Suspek memaklumkan pihaknya telah menerima bungkusan atas nama mangsa yang mengandungi dokumen peribadi iaitu satu kad pengenalan dan lima kad mesin juruwang automatik (ATM).

“Talian mangsa kemudiannya terus disambungkan kepada pihak polis dan mangsa didakwa terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM28,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi tujuan memeriksa sumber wang mangsa.

Katanya, suspek juga meminta mangsa membuat permohonan pinjaman peribadi atas alasan bayaran jaminan untuk meneruskan siasatan.



“Mangsa telah melakukan transaksi bermula 31 Mac 2023 sehingga 7 Ogos 2023 sebanyak 27 kali transaksi ke dalam 12 akaun yang berbeza dam sumber kewangan mangsa adalah duit simpanan dan pinjaman peribadi daripada empat bank.

“Mangsa kemudiannya baru membuat laporan polis tahun ini selepas kira-kira setahun kejadian,”katanya.

Dalam pada Yahaya berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi
kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Katanya, masyarakat diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang
transaksi.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button