‘Biawak hidup’ kahwin 5 wanita untuk hidup mewah

Oleh – Syeikh Baran


‘Biawak hidup’ kahwin 5 wanita untuk hidup mewah
Satyajit Samal meminta wang tunai dan kereta daripada mangsa selepas berjanji untuk berkahwin. – OpIndia

Seorang lelaki berusia 34 tahun di bandar Bhubaneswar ditahan selepas berkahwin dengan lima wanita dan menyamar sebagai anggota polis untuk memeras wang daripada mereka, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Menurut Pesuruhjaya Polis Bhubaneswar, Sanjeeb Panda, suspek bernama Satyajit Samal, berinteraksi dengan 49 wanita lain di laman mencari jodoh dan bercadang untuk mengahwini mereka. 



“Selepas menerima aduan berasingan daripada dua isterinya, polis berjaya menahan suspek apabila seorang pegawai polis wanita yang menyamar jadi pelanggan datang menemuinya,” kata Sanjeeb. 

Polis juga menemui sebuah kereta, motosikal, wang tunai berjumlah 210,000 rupee (RM11,272.51), pistol dan beberapa peluru serta dua sijil perjanjian perkahwinan. 

Suspek turut mengaku mempunyai lima isteri. Dua daripada mereka dari Odisha, seorang dari Kolkata dan Delhi, manakala wanita kelima masih belum diketahui. 

“Tiga akaun simpanan milik Satyajit telah dibekukan,” kata Sanjeeb.



“Suspek pernah meminta wang tunai dan kereta selepas berjanji untuk mengahwini mereka (mangsa). Dia kemudian mengugut menggunakan pistol sekiranya mangsa meminta wang mereka kembali,” tambahnya. 

Menurut salah seorang mangsa, dia berhubung dengan suspek melalui laman web mencari jodoh dan mula berbual sebelum berjumpa secara kerap.

Satyajit didakwa memaksanya menjalinkan hubungan fizikal atas alasan perkahwinan dan meminta wang untuk membeli kereta.

Mangsa mengambil pinjaman peribadi daripada bank dan membeli sebuah kereta bernilai 815,000 rupee (RM43,748.10), serta memberi suspek 36 juta rupee (RM1.93 juta) untuk memulakan perniagaan.



“Suspek menggunakan wang tersebut untuk mengekalkan gaya hidup mewah. Kami menjangkakan lebih ramai wanita yang mungkin telah ditipu olehnya akan tampil selepas penahanannya,” kata Sanjeeb. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button