Penculik Albertine ditahan semula miliki bahan porno kanak-kanak

Oleh – Syeikh Baran


Penculik Albertine ditahan semula miliki bahan porno kanak-kanak
SUSPEK kes penculikan Albertine ditahan semula oleh polis hari ini kerana memiliki bahan lucah termasuk melibatkan kanak-kanak di kediamannya.

Suspek lelaki yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui, 6, ditahan semula hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi libatkan kanak-kanak.



Menurut beliau, kesemua bahan-bahan itu ditemukan pihaknya ketika siasatan dibuat di kediaman suspek yang terletak di Kulai.

“Bagi kesalahan tersebut, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan penganiayaan seksual melibatkan kanak-kanak.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, suspek berusia 31 tahun itu ditahan reman selama dua minggu selepas ditangkap polis di sebuah hotel murah di Batang Kali bersama-sama dengan penemuan mangsa pada 23 Julai.



Sebelum ditahan semula hari ini, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana tamat tempoh tahanan reman hari sama.

Mangsa, Albertine Leo dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya ketika berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini pada 20 Julai lalu.

Sementara itu, Kumar turut menasihatkan golongan ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti dan perkembangan emosi serta fizikal anak-anak mereka agar perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan awal.

“Masyarakat juga perlu cakna terhadap trend jenayah masa kini dengan meningkatkan tahap kesedaran serta bimbingan kepada kanak-kanak agar mereka lebih berhati-hati ketika bergaul termasuk dalam media sosial,” ujarnya.
 
Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button