‘Tiada video call anak, rupa-rupanya lemas’
Oleh – Syeikh Baran
“Saya memang rasa tidak sedap hati apabila anak tidak menghubungi kami semalam kerana biasanya dia akan menghubungi kami setiap hari”.
Demikian kata Imran Abu Hassan, 59, bapa Muhamad Ikram, 26, yang ditemui lemas ketika berkelah di Sungai Pakan, Sarikei di Sarawak.
Katanya, perasaan tidak sedap hati itu terjawab apabila dia menerima panggilan memaklumkan anaknya hilang dan dikhuatiri lemas pada pukul 11 pagi, sebelum mayat pemuda itu dijumpai sembilan jam kemudian.
“Sebelum itu saya berbual dengan isteri (Aziah Sulaiman) sebab tiada panggilan video daripada anak.
“Walaupun terdetik perasaan tidak sedap hati, namun saya tetap pujuk isteri. Saya cakap mungkin anak sibuk bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Kelubi, Sungai Pasir di sini hari ini.
Jelasnya, anaknya bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berpengkalan di Hospital Sarikei sejak enam bulan lalu.
“Saya dimaklumkan anak hilang dibawa arus ketika memancing dan berkelah bersama 14 rakan lain di Sungai Pakan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Wak semalam.
“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini walaupun kehilangan anak yang baik, mendengar kata, tidak pentingkan diri dan suka menolong orang,” ujarnya.
Tambahnya, proses pengecaman mayat dan bedah siasat serta membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, kariah Sungai Pasir sedang diurus oleh adik lelakinya yang kini berada di Sarawak.
Sumber – KOSMO! ONLINE