Bekas ejen agensi pelancongan didakwa tawar umrah tanpa lesen

Oleh – Syeikh Baran


Bekas ejen agensi pelancongan didakwa tawar umrah tanpa lesen
Gambar Hiasan

Seorang bekas ejen agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pakej umrah tanpa lesen sah dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan pakej umrah tanpa lesen yang sah oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sebuah bank Pusat Bandar Utara, Sentul di sini pukul 10.11 malam pada 10 Disember 2022.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superitendan Nam Phat Prack Dit mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam, Lejerod Limpuong yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan yang tetap



“Tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri kerana tanggungan ditanggung penuh olehnya,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Illi Marisqa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin.

Tarikh dan 6 September ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button