Buktikan penjawat awam layak naik gaji

Oleh – Syeikh Baran


Buktikan penjawat awam layak naik gaji
Adnan sewaktu berucap pada Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam di HSNZ, Kuala Terengganu hari ini.

Penjawat awam diingatkan agar tidak berada dalam ‘zon selesa’ dengan pengumuman kenaikan gaji tidak lama lagi sebaliknya kekal menzahirkan komitmen tinggi dalam memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu membuktikan mereka layak menerima kenaikan gaji tersebut sekaligus mematahkan persepsi negatif yang telah dilemparkan segelintir pihak selama ini.



Beliau berkata, Cuepacs sedar segelintir pihak telah membangkitkan rasional kenaikan gaji tersebut sebaik ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.

“Banyak komen dilontarkan, contohnya kenapa harus naik gaji (sedangkan) perkhidmatan belum ada penambahbaikan.

“Sebab itu, kita beritahu anggota perkhidmatan awam agar kekal memberi perkhidmatan yang terbaik (selaras dengan cadangan kenaikan gaji),” katanya pada Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Perincian berhubung kenaikan gaji melibatkan 1.5 juta penjawat awam itu akan dilakukan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 16 Ogos ini.



Adnan juga berharap penjawat awam sentiasa menjaga integriti dan mengelak sebarang perkara yang boleh mencetuskan pertikaian awam.

Ujar beliau, pencapaian penjawat awam sentiasa diperhatikan awam dan sebarang kelemahan walaupun kecil pasti menjadi isu besar.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button