Lelaki cuba larikan diri bawa 111kg ganja

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki cuba larikan diri bawa 111kg ganja
YAHAYA (dua dari kanan) menunjukkan ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

Polis Pahang berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis ganja dianggarkan seberat kira-kira 111 kilogram (kg) bernilai RM359,600 dengan penahanan seorang lelaki di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penahanan lelaki berusia 48 tahun terbabit susulan tindakan suspek yang melarikan diri ketika ditahan di tepi jalan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di Kilometer 267 menghala ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi.



“Semasa polis ingin membuat pemeriksaan di dalam kereta yang dipandu oleh suspek, suspek telah bertindak memecut kenderaan dan telah berlaku kejar mengejar menghala ke Plaza Tol Jabor.

“Suspek kemudian berjaya ditahan di tepi jalan berhampiran kedai makan medan selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek, menemukan 107 peket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 111,663.51 gram.

“Dengan tangkapan ini, polis telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 111,663 orang penagih dadah,” katanya.



Yahaya berkata, suspek yang positif dadah jenis methamphetemine dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Ogos depan untuk siasatan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button