Lelaki terjun sungai dalam operasi polis ditemui mati lemas

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki terjun sungai dalam operasi polis ditemui mati lemas
Mayat lelaki yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Padang Terap di Pokok Sena ditemui tengah hari tadi.

Seorang lelaki yang dipercayai terjun ke Sungai Padang Terap di Kampung Empa, di sini akibat panik diserbu polis pada semalam ditemui mati lemas pada pukul 1.38 tengah hari tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, mayat mangsa berusia 34 tahun itu ditemui pada jarak tiga kilometer dari lokasi dia disyaki lemas.



“Mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semalam.

Katanya, dia bertindak terjun ke dalam sungai setelah panik dengan kehadiran pihak polis yang melaksanakan operasi di situ.

“Ketika itu terdapat tiga lelaki dengan dua daripadanya melarikan diri manakala seorang lagi terjun ke sungai. Setelah terjun ke sungai, lelaki terbabit dilihat berenang sejauh kira-kira 15 meter sebelum tenggelam,” katanya.



Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada salah seorang anaknya yang menghubunginya kira-kira pukul 10 malam tadi.

“Semasa itu saya sedang menonton siaran langsung Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang JDT. Tiba-tiba saya menerima panggilan telefon dari salah seorang anak perempuan yang memaklumkan mengenai kejadian ini.

“Dia merupakan anak ketiga dari enam beradik dan merupakan seorang duda yang hanya melakukan kerja-kerja kampung,” ujarnya

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button