Remaja keldai dadah seludup syabu ke Sabah

Oleh – Syeikh Baran


Remaja keldai dadah seludup syabu ke Sabah
Siti pada sidang akhbar penyeludupan dadah di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar hari ini.

Kastam Sabah menahan dua lelaki termasuk seorang remaja yang dipercayai menjadi ‘keldai’ dadah dalam penahanan pada 30 Julai lalu.

Kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia 18 dan 29 tahun dan masuk ke negeri ini secara berasingan sebelum ditahan bersama lebih 20 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM667,729.44.



Kegiatan menyeludup masuk dadah berkenaan berjaya dikesan ketika cuba melepasi pemeriksaan di dua lapangan terbang sebaik tiba dari Semenanjung Malaysia.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang berkata, suspek pertama ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada pukul 12.30 tengah hari

“Hasil imbasan imej ke atas beg suspek berjaya mengesan 10 bungkusan plastik hijau kuning jenama ‘Guangyiwang’ yang mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bungkusan terbabit berisi 10.199 gram dadah berbahaya yang dianggarkan bernilai RM326,389,” katanya pada sidang akhbardi Wisma Penguatkuasaan Sepanggar hari ini.



Mengulas lanjut, Siti memaklumkan bertindak atas maklumat, suspek kedua pula ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari sewaktu cuba melepas pemeriksaan mesin imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati suspek membawa bagasi berisi 10 bungkusan mengandungi dadah seberat keseluruhan 10.194 gram.

“Suspek adalah seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mempunyai hubung kait dengan suspek pertama,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button