Ustaz Halim didakwa cabul murid lelaki dalam bilik hotel

Oleh – Syeikh Baran


Ustaz Halim didakwa cabul murid lelaki dalam bilik hotel
TERTUDUH diiringi peguam dan polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. – Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

Seorang ustaz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid lelaki, tahun lepas.

Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 36, yang mengajar subjek Bahasa Arab di sebuah sekolah rendah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.



Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah memegang kemaluan mangsa seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sembilan bulan bagi maksud seksual.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang masing-masing memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta penjara lima tahun dan dua sebatan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas mangsa dengan memegang kemaluan sendiri dalam kehadiran mangsa bagi maksud seksual.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(c) AKSTK 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.



Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira 10 malam di sebuah hotel bajet dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Julai 2023.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Norhayati Yusof memohon tiada sebarang jaminan dibenarkan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan tertuduh dikenakan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan kerana telah digantung tugas sebagai penjawat awam dan hanya mempunyai RM5,000 bagi wang jaminan.

Tambahnya, tertuduh juga berdepan dengan dua lagi pertuduhan yang akan didakwa di mahkamah di Port Dickson dan Petaling Jaya membabitkan kes sama.



Ujarnya lagi, anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan termasuk bagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang dan Ipoh, Perak membabitkan pertuduhan serta mangsa sama, sebelum ini.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Rohatul membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melapor diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran dan tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 12 September ini sebagai sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button